Cukuplah TUHAN Sebagai Pembantu
Kenapa bersedih bila kebaikan seolah terkubur di pandangan?
Untuk apa merasa sakit andai silap salah yang jelas dilihat?
Untuk apa berduka jika mereka gemar menghukum?
Lantas untuk apa resah bila tiada seorang jua yang memahami?
Kau punya TUHAN yang menyaksikan
Bukankah TUHAN tak leka melihatmu?
Bukankah DIA maha mengerti dirimu dan diri mereka?
Bukankah kau selalu berkata,
Cukuplah ALLAH sebagai pembantu?
Sebagaimana DIA mampu mengujimu dengan ketakutan, kelaparan, jua kesedihan
DIA juga yang maha kuasa menghapus segala duka dan air mata
DIA hadirkan ujian bukan untuk melemahkan
Hakikatnya ia sebaik tarbiah bagi yang mampu berfikir
Sebaliknya harus kita berduka andai mulia itu di hanya di pandangan insan
Bahkan lebih wajar mendesah jika hina di pandanganNYA
Jadilah diri yang tak jatuh dek keji
Tak riang dek puji
Kerana pujian mampu menjatuhkan
Kekejian membantu minda ligat mencari
Menghisab tiap kekhilafan diri
Jadilah seperti dia yang namanya tak dikenali penghuni Bumi
Namun namanya disebut-sebut seluruh yang di langit
Biarlah kepahitan dan kepiluan itu singgah sejenak
Bukan kerana TUHAN membencimu
Jauh sekali ingin meminggirkanmu
Namun diri perlu diberitahu
Dirimu terpelihara hanya dengan izin DIA, AL-HAFIZ
Usah punya bangga walau setitik pun
Kerana hakikatnya DIA memegang segala hati
Malam itu tangismu terdengar sayup di hujung sujud
Lusa dirimu mampu menderhaka
Pernahkah kau terdengar bahawa
Bangun dengan penuh penyesalan kerana tidak tahajjud
Jauh lebih mulia daripada
Yang menghabiskan segenap dinihari dengan ibadah
Namun hati penuh bangga kerana bangun malam
Jagalah hati
Agar segalanya hanya untuk DIA
Jagalah hati
Agar tak kembali menyusuri mimpi ngeri
Jagalah hati
Agar sentiasa merasa segalanya hanya kerana keizinanNYA
TUHAN,
Pimpinlah hati ini
Agar terus merasa senang dan tenang
Tanpa benci
Tanpa penyesalan
Tanpa sombong
Tanpa noda
TUHAN,
Peliharalah kami daripada
Melakukan dosa
Sama ada yang terang
Mahupun tersembunyi
Jadikanlah hati kami ini sebagai hati yang sentiasa mengingati dan menyintaiMU
Dalam suka mahupun dalam duka
Jadikanlah ayat-ayat cintaMU sebagai penglipur hati kami
Bantulah kami dalam menghadapi bisikan-bisikan itu
Yang melemahkan hati kami saat kami berduka
Yang memesongkan hati kami daripada jalan lurusMU saat kami gembira
Yang datangnya daripada syaitan durjana, insan, dan nafsu ini
0 Comments:
Post a Comment
kumenz
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home